Turun naik harga sayur dipengaruhi pelbagai faktor  - Utusan Malaysia

Turun naik harga sayur dipengaruhi pelbagai faktor 

MOHD. RIDZUAN Ab. Ghapar ketika meninjau harga barangan keperluan di Pasar Awam Bayan Baru, Pulau Pinang hari ini. - UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Kenaikan harga beberapa jenis sayuran di negeri ini dijangka bersifat sementara memandangkan dipengaruhi beberapa faktor seperti keadaan cuaca di Cameron Highland serta peningkatan kos racun dan baja.

Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) Pulau Pinang, Mohd. Ridzuan Ab. Ghapar berkata, menerusi pemantauan pihaknya, terdapat harga sayuran yang meningkat sehingga 100 peratus pada minggu kelima November seperti kacang buncis.

Bagaimanapun jelasnya, terdapat juga sayuran mengalami penurunan harga antaranya tomato yang turun 43 peratus; brokoli (27.7 peratus) dan limau kasturi (31.5 peratus).

“Turun naik harga sayur-sayuran sentiasa berubah, mengikut alasan para pembekal pada musim hujan akan ada kenaikan harga sayur-sayuran serta ada kenaikan kos baja.

“Jadi kita telah menjalankan Op Pasar (Sayur 2) ke atas rangkaian pengedaran sayur daripada pengimport, pemborong dan peruncit di Pulau Pinang untuk mendapatkan maklumat punca kenaikan sayur di pasaran,” katanya selepas meninjau harga barangan keperluan di Pasar Awam Bayan Baru, di sini hari ini.

Menurutnya, Seksyen Penguat Kuasa PPDNHEP telah menjalankan sebanyak 100 pemeriksaan ke atas premis perniagaan dan mengeluarkan 20 Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPBM) dan 10 Notis Bertulis (NB) untuk mendapatkan harga sayuran menerusi Op Pasar.

“Peniaga perlu mengemukakan maklum balas NPBM dan NB dalam tempoh dua hingga lima hari daripada tarikh penerimaan notis yang terlibat,” katanya.

Sementara itu tambah beliau, pihaknya akan menjalankan Op Menu bermula 6 November sehingga 31 Disember depan bertujuan menangani isu manipulasi harga dan penipuan alat timbangan oleh pengusaha restoran atau kedai makan.

“Pemeriksaan berterusan bagi Op Menu telah menghasilkan dua kes dengan nilai kompaun RM500 daripada 372 pemeriksaan restoran dan kedai makan bagi pematuhan penandaan harga,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd. Ridzuan berkata, pihaknya telah selesai menjalankan siasatan berhubung isu sotong goreng dijual dengan harga RM100 di Restoran Hameediyah baru-baru ini.

“Kertas siasatan akan diserahkan kepada KPDNHEP Putrajaya untuk tindakan selanjutnya,” katanya yang enggan mengulas sama ada berlaku pencatutan harga jualan sotong berkenaan.

Selain itu katanya, restoran yang menjual hidangan kailan ikan masin pada harga RM18 juga dikehendaki memberikan maklum balas Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) selewat-lewatnya hari ini untuk tujuan siasatan kes berkenaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya