Fernando pastikan kemenangan Kedah

Fernando memastikan Kedah berjaya mengutip tiga mata selepas menang tipis ke atas Petaling Jaya City FC di Darul Aman sebentar tadi. - Foto AHMAD ZAKI OSMAN
Fernando memastikan Kedah berjaya mengutip tiga mata selepas menang tipis ke atas Petaling Jaya City FC di Darul Aman sebentar tadi. - Foto AHMAD ZAKI OSMAN
A
A
A

LANG Merah perlu berterima kasih kepada Fernando Ortega apabila menjaringkan gol kemenangan 3-2 ke atas Petaling Jaya City (PJC) FC pada aksi Liga Super 2019 di Stadium Darul Aman, sebentar tadi.

Tuan rumah hampir kempunan tiga mata selepas pelawat berjaya bangkit mengikat kedudukan 2-2 sebelum penyerang Sepanyol itu memastikan Kedah keluar sebagai pemenang.

Kedah terlebih dahulu berpeluang cerah memperolehi gol seawal minit ke-8 menerusi Jonathan Bauman yang melepaskan sepakan namun percubaan itu dihadang pertahanan pelawat sebelum bola tersebut tempias terkena palang gol PJC FC.

Bagaimanapun, tuan rumah terlebih dahulu berada di hadapan 1-0 pada minit ke-14 menerusi Baddrol Bakhtiar hasil kekalutan yang berlaku di dalam kotak penalti PJC FC ekoran percubaan pertama Bauman.

Tersentak jaringan tersebut, pelawat berusaha untuk kembali mengatur rentak namun kekurangan serangan yang dilakukan oleh PJC FC diambil kesempatan oleh Lang Merah untuk mengawal permainan.

PJC FC berpeluang untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-34 menerusi penyerangnya, Washington Dos Santos apabila tandukannya sedikit tersasar selepas menerima hantaran rakannya, G Ganiesh.

Pada separuh masa kedua selepas tiga minit perlawanan berlangsung, Kedah berjaya menjarakkan jurang kepada 2-0 hasil jaringan Farhan Roslan yang memanfaatkan kegagalan penjaga gol pelawat, Muhaimin Mohamad menumbuk keluar bola tersebut hasil hantaran Baddrol.

Gol yang diburu oleh pasukan pelawat akhirnya muncul pada minit ke-59 menerusi Washington yang berjaya mengelecek pertahanan tuan rumah sebelum menjaringkan gol menewaskan penjaga gawang Kedah, Ifwat Akmal Chek Kassim untuk keputusan 2-1.

Artikel Berkaitan:

Gol tersebut berjaya menyemarakkan semangat kelab tersebut dan mereka berhasil menyamakan kedudukan 2-2 pada minit ke-66 menerusi jaringan menarik Ganiesh.

Kedah yang tidak mahu keciciran mata pada perlawanan berkenaan berjaya kembali berada di hadapan 3-2 pada minit ke-76 hasil kuisan Fernando Ortega selepas memanfaatkan hantaran Baddrol hasil sepakan sudut.