02 August 2017

SAH CERAI TALAK SATU: "JANGAN JADI BATU API"- SERINA REDZUAWAN


"Kami tidak bergaduh dan paling penting kes perceraian kami selesai dengan baik. Paling penting kebajikan anak-anak dan walaupun bercerai kami sama-sama akan jaga mereka dengan baik," ujar Serina Redzuawan, 34, yang telah sah bercerai talak satu dengan suami, Gavin Edward O’luanaigh, 40, semalam.

Setelah dua tahun tinggal berasingan dan pelbagai pergolakan dan kontroversi terjadi, akhirnya Gavin atau nama Islamnya Salahudin Ghafar telah melafazkan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, kira-kira jam 10.45 pagi.

Dalam prosiding yang sama, Gavin turut menarik balik permohonan nusyuz terhadap Serina yang difailkannya sebelum ini.





Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam sebelum ini memerintahkan hak penjagaan kekal kedua-dua kanak-kanak itu diberikan kepada Gavin secara persetujuan bersama dengan Serina dengan beberapa syarat dan terma lawatan yang dipersetujui bersama.

Terdahulu Serina selaku plaintif kes telah menfailkan permohonan cerai mengikut Seksyen 47, Enakmen Keluarga Islam Negeri Selangor pada 6 Disember tahun lalu.

Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 1 Januari 2010 dan mempunyai dua cahaya mata.

Klik untuk gambar besar


Dalam pada itu, Serina meminta pihak luar tidak menjadi batu api berhubung perceraian dan tindakannya memberikan hak penjagaan kekal dua anak kepada bekas suami Gavin Edward O'luanaigh.

Pinta Serina, jangan cepat menjatuhkan hukum mengenai perihal peribadinya kerana dia juga seorang manusia biasa yang mempunyai sejarah hidup tersendiri.

"Tiada siapa yang inginkan perkahwinan dibina berakhir dengan perceraian dan begitu juga saya. Tetapi malangnya ramai yang menjadi batu api dan mudah menjatuhkan hukum walaupun tidak tahu situasi sebenar.



"Setiap orang ada sejarah hidup tersendiri dan doakan yang baik-baik kerana kita tidak tahu apa akan jadi pada masa hadapan dan bukannya dengan memaki hamun," katanya.

Mengulas mengenai luahan bapanya, chef selebriti, Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan yang tidak bersetuju tindakannya menyerahkan hak penjagaan dua anaknya kepada Gavin, Serina bagaimanapun enggan mengulas mengenai hal itu.

Sebaliknya kata Serina, bapanya itu ada hak untuk bersuara namun dia bersyukur mendapat keluarga yang sentiasa menyokongnya.

"Ibu bapa mana tak emosional termasuklah keluarga saya tetapi bapa saya ada hak untuk bersuara dan tidak perlu saya ulas mengenainya. Paling penting saya dapat sokongan tidak berbelah bahagi daripada ibu dan bapa saya," tuturnya.








www.myartis.com / Sumber: mStar




         ________________________



No comments: