05 August 2017

TOLAK 'LAMARAN' RANI KULUP - DATO' VIDA DEDAH 'DIRISIK' JEJAKA EROPAH


Sebelum ini, Datuk Seri Hasmiza Othman, 46, menolak 'lamaran' Abdul Rani Kulup Abdullah untuk menjadikannya sebagai isteri selepas presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibah itu tiada ciri-ciri lelaki pilihannya.





Malah Hasmiza atau mesra disapa Vida mengingatkan Rani agar tidak mencari publisiti murahan.

"Jangan cari publisiti murahan. Bawa kepada saya lelaki yang kaya, mata kelabu, muda dan kacak. Seseorang yang boleh majukan perniagaan saya ke arah trilion ringgit. Itu baru boleh," tutur Dato' Vida.

Terkini, Dato' Vida mendedahkan beliau sudah 'dirisik' seorang jejaka kacak sehingga sanggup datang dari jauh ke kediaman jutawan kosmetik itu di Ipoh, Perak.

Jelas Dato' Vida, pertemuan dengan jejaka Eropah berusia awal 30-an itu diatur semasa sambutan Aidilfitri baru-baru ini.

Klik untuk gambar besar


"Kami sudah kenal beberapa bulan. Sebelum ini kami hanya berhubung melalui telefon tapi hari raya baru-baru ini saya jemput dia untuk datang beraya di rumah.

"Terkejut jugalah sebab tak sangka dia sanggup datang dari jauh. Dah alang-alang, saya perkenalkanlah dia dengan ahli keluarga saya," katanya.

Menurut pengasas produk kecantikan Qu Puteh, lelaki tersebut sememangnya menepati segala kriteria calon suami yang diidamkan selama ini.

"Dia ada segalanya... kacak, bermata kelabu, rambut blonde, muda, bergaya dan seorang ahli perniagaan. Saya boleh katakan dia ada iras-iras David Beckham," jelasnya.

Bagaimanapun, Vida berkata buat masa ini mereka masih dalam proses mengenali hati budi masing-masing.



"Saya enggan terburu-buru kerana masih trauma dengan perkahwinan saya yang tidak bertahan lama sebelum ini.

"Biarlah kami berkawan terlebih dahulu. Jika sudah tertulis itu jodoh saya, siapa saya untuk menolaknya," ujarnya.

Ketika ditanya mengenai negara kelahiran jejaka kacak itu, Vida bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

"Biarlah rahsia. Nanti bila dah sedia, saya beritahulah sayang-sayang semua," katanya.



Terdahulu, penyanyi lagu 'I Am Me' itu mendakwa yang beliau menerima sekurang-kurangnya 50 resume daripada jejaka yang meluahkan hasrat untuk memperisterikannya.

Lebih menarik, resume itu bukan sahaja diterima dalam kalangan rakyat tempatan tetapi juga dari luar negara termasuk Finland dan Scotland.

Malah sebelum ini, Vida berkata individu yang mahu menjadi calon suaminya perlulah bermata kelabu, kaya dan boleh menerima hobinya yang suka membeli-belah.

"Dia kenalah ada karakter yang saya mahukan iaitu bermata kelabu tapi ada ke calon-calon seperti itu? Dia juga kenalah terima diri saya seadanya.

"Lelaki mana yang sanggup terima kalau sekali shopping (beli belah) saya borong 14 handbag (beg tangan) terus? Pengsan lelaki tu," ujar Dato' Vida sebelum ini.




www.myartis.com / Sumber: mstar & MMO


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: