Seorang lelaki cedera di tetak dengan pedang


LELAKI cedera ditetak dengan pedang dalam pergaduhan membabitkan dua kumpulan lelaki di belakang stesen minyak di Paya Bemban, Kota Bharu, semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik berkata, dalam kejadian 5.30 petang itu, Proton Waja dan Proton Wira Aeroback dikatakan menghimpit Perodua Alza.
Katanya, lima lelaki bertopeng bersenjatakan besi keluar dari Proton Waja dan Proton Wira Aeroback dan memukul Perodua Alza terbabit sambil meminta pemandu dan dua penumpangnya keluar.
"Pemandu dan penumpang Alza kemudian keluar sambil menghanyun pedang ke arah kumpulan lelaki itu dan mengenai paha, lutut dan tangan seorang daripada mereka,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Kumpulan lelaki daripada Waja dan Wira Aeroback kemudian melarikan diri manakala mangsa yang ditetak disoal suspek sebeleum suspek meninggalkan mangsa di lokasi kejadian untuk mencari seorang lagi lelaki, katanya.
Menurutnya, polis yang menerima maklumat kejadian terus bergegas ke lokasi kejadian dan menemui mangsa berusia 30 tahun cedera di beberapa bahagian badan sebelum membawanya ke HRPZ II untuk rawatan lanjut.
"Kita menemui beberapa barang kes termasuk besi tajam, sarung pedang dan topeng muka di lokasi kejadian.
"Susulan kejadian itu polis berjaya menahan dua suspek berusia 23 dan 27 tahun di Kubang Kerian dan Pasir Puteh dan mereka direman empat hari bermula hari ini untuk disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Julai 2017 | HMetro
Dikuasakan oleh Blogger.