'Perut buncit macam mengandung 5 bulan, tak takut ke suami cari lain?'


Golongan suami, hargailah isteri yang telah berkorban melahirkan zuriat anda. Selain bergadai nyawa, mereka jugalah yang menjadi tulang belakang suami, yang membantu suami menguruskan rumahtangga, menjaga anak-anak, mendidik anak-anak dan bermacam-macam lagi. 

Usahlah ditinggalkan isteri yang sudah tidak cantik seperti awal-awal perkenalan atau perkahwinan. Sebaik-baiknya bantulah mereka, manjakanlah mereka, kerana itu teman sehidup dan semati anda. Seperti kisah yang diceritakan oleh Intan Dzulkefli ini, semoga ramai golongan suami yang mengambil iktibar dan tauladan dari kisah ini. Semoga bermanfaat.

SEJAK BERSALIN anak ketiga, wajahnya memang kusam teruk. Selepas habis berpantang, perutnya buncit. Yarabbi. Rambut dia banyak gugur, dah nampak seperti orang baru selesai jalani kimo terapi. Bila balik ke kampung, semua tegur muka dia nampak tua. 

Umur dia baru 20-an, tetapi dah nampak macam hujung 30-an. Bila berdiri di sebelah suami, nampak seperti dia kakak kepada suaminya sendiri. Komen-komen orang di sekeliling, benar-benar membuatkan dia rasa rendah diri di depan suami. 

Saya tanya, suami dia pernah complaint ke? Dia jawab, tak pernah. 

"Tiada apa yang berkurangan, malah kadangkala tengah malam selalu terasa suami mencium wajah saya sambil ucapkan terima kasih sebab menjadi isteri dia dan mendidik anak-anak sementara dia bekerja. Dia bacakan doa pada ubun-ubun," katanya. 

"MasyaAllah. Beruntungnya akak," kata saya.

Baru-baru ini, dia bercerita lagi. 

"Hari tu, masa balik cuti beraya, ada ahli keluarga perli saya nampak seperti sudah beranak 10 orang. Perut buncit macam mengandung lima bulan. Mereka suruh saya makan jamu sebab takut nanti suami mencari yang lain kerana tak berselera dengan saya. Mereka juga suruh saya pergi ke Spa sebab muka kusam.

"Saya menangis masuk bilik. Suami ikut saya masuk apabila dia menyedari saya kelihatan lain macam. Saya marah-marah suami dan mula menuduh suami. Saya rasa memang betul apa yang mereka cakap. Mungkin suami hanya bersimpati dengan saya sebab saya bersusah payah melahirkan anak-anaknya. 

"Mungkin dia juga sudah hilang nafsu pada saya. Saya dah buruk, saya dah gemuk, saya dah hodoh dan muka kelihatan tua. Saya betul-betul kecewa dengan diri sendiri. Kenapa wanita lain yang lagi ramai anak daripada saya tetapi tetap kelihatan cantik? Kenapa saya buruk sangat? 

"Akhirnya suami saya peluk saya sambil menangis. Dia kata dia tidak pernah pun terfikir apa yang saya cakap. Langsung tidak pernah terlintas di hatinya. Suami kata, sayalah satu-satunya yang paling cantik dalam hatinya. 

"Intan, saya takkan lupa apa yang suami katakan:

"Setiap kali abang nampak sayang, abang hanya nampak wanita yang bersusah payah untuk abang. Bila nampak rambut sayang gugur banyak di lantai, bentuk badan sudah berubah, abang rasa abanglah yang bersalah sebab sayang jadi begini selepas melahirkan anak-anak abang, susukan anak-anak, jaga anak-anak. 

"Abang masih ingat betapa cantiknya sayang masa kali pertama abang tengok sayang semasa kita solat jemaah bersama-sama selepas nikah.

"Abang minta maaf, abang salah. Abang cuba tolong apa yang patut tetapi kadang-kadang anak-anak nak melekat dengan sayang juga. Apa yang mampu abang buat, abang hanya mampu mendoakan sayang setiap hari dan cuba mengembirakan hati sayang. 

"Abang minta maaf kalau abang tak cukup tunjukkan kasih sayang abang selama ini. Abang minta maaf tetapi percayalah abang sayang pada sayang. Hari-hari abang doa semoga sayang satu-satunya isteri abang di dunia akhirat." 

Demi Allah, saya yang membaca, saya menangis. MasyaAllah, mulianya hati suami ini. Suaminya hantarkan juga isterinya buat treatment di atas permintaan si isteri. Tetapi niatnya lebih kepada mahu menghargai kesetiaan suaminya itu, selain untuk sihat beribadah kepada Allah. Subhanallah. Suami isteri yang berlumba-lumba mahu menggembirakan hati pasangan masing-masing, inshaAllah Allah akan berikan sakinah, mawaddah dan rahmah dalam rumahtangga mereka, kan? Semoga rumahtangga kita juga begitu. Amiin.

Cerita sahabat ini memberi pengajaran yang besar buat diri ini. Janganlah kita sesekali mengatakan sesuatu yang boleh menjatuhkan air muka seorang isteri, apatah lagi di hadapan suami dan anak-anak. Kita tidak tahu natijah perkataan demi perkataan yang kita lemparkan itu mungkin menyebabkan seseorang suami memandang rendah kepada isterinya. 

Kadangkala, selain dari mulut orang sekeliling yang sangat suka memberikan komen yang menyakitkan hati, ayat-ayat promosi produk di media sosial juga terlalu memprovok sehingga menimbulkan syak wasangka isteri pada suaminya sendiri. 

Maaf saya cakap, terutamanya produk kewanitaan dan kecantikan. Terlalu banyak yang condemn sehingga isteri menjadi hilang keyakinan diri. 

Selalu sangat mengugut kaum isteri:
  1. "Nanti suami lari dengan janda meletop sebelah rumah."
  2. Nanti suami cari orang lain sebab bau kepam awak tu"
  3. "Nanti orang fikir uolls mak sedara suami sebab muka nampak tua"

Maaf cakap, mungkin yang gelojoh nafsu itu hanya suami awak, bukan suami orang lain. Saya percaya, masih ramai lagi suami yang hanya memandang isterinya sahaja yang cantik dalam dunia ini. Bukan hanya berpura-pura mahu menjaga hati isteri atau hanya baik di depan tetapi di belakang suka cuci mata memandang wanita lain. 

Tetapi cinta dan belas ehsan yang ikhlas dari hati. Betul-betul isterinya seorang itu yang dia mahu menemankannya di syurga, jadi penghulu bidadari. MasyaAllah. Inilah bezenya lelaki beriman, baik dan soleh dengan lelaki yang jahat. Maka janganlah disamakan antara keduanya. Sebagaimana ada wanita baik dan wanita jahat, begitu jugalah para lelaki.

Semua orang punyai nafsu, namun orang beriman mengawal nafsunya dengan mujahadah dan melunaskannya dengan cara yang dibolehkan, yang halal baginya. Takkan sama seperti orang fasik, munafik dan tidak beriman. Allahuakbar. 

Sesungguhnya tiadalah dapat dinafikan lagi. Nikmat kebahagiaan terbesar seorang isteri setelah iman dan Islam adalah dipinjamkan seorang suami yang soleh, yang mencintai, mengasihi dan menyantuninya kerana Allah, menjadi sahabatnya di dunia dan akhirat. Alhamdulillah 'ala kulli nikmah.



Sumber : GengViral
loading...
loading...
Share on Google Plus

About Unknown

    Blogger Comment
    Facebook Comment
LIKE,SHARE PAGE DAN KLIK (X) UNTUK BACA Button Close