Bab 2

31.8K 299 2
                                    

Mizan merenung tajam adiknya. Rasa macam hendak ditelannya saja hidup-hidup. Nampak kecil saja Nizam di matanya. Nizam yang buat angkara, dia pula yang kena tanggung beban. Namun Mizan hanya mampu menggenggam penumbuknya kemas-kemas dan mengetap kejap giginya menahan geram.

Encik Marzuki terkedu. Wajahnya yang gembira sebentar tadi bertukar menjadi redup tiba-tiba. Hendak dikatakan benci, dia rindu pada anak bongsunya yang telah setahun lebih tidak ditemui. Hendak dikatakan gembira, hatinya masih terasa sakit dengan perkara yang telah dilakukan Nizam.

Puan Azmah juga begitu. Dia menjadi serba salah. Namun kasih seorang ibu tiada tandingannya. Seketika Puan Azmah sudah berpelukan dengan Nizam. Rasa marahnya tenggelam diasak oleh rasa rindu dan sayangnya.

"Ampunkan Nizam, mak. Nizam tahu Nizam berdosa pada mak dan ayah. Ampunkan Nizam." Berlinangan air mata Nizam sambil memeluk Puan Azmah. Puan Azmah turut menangis teresak-esak memeluk tubuh anaknya yang menangis hingga menggigil. Hati ibu mana yang tidak merasa belas. Kasih ibu sentiasa terbuka, sedia memaafkan segala kesalahan anak-anak.

Nizam menangis pula dalam pelukan Encik Marzuki. Hati Encik Marzuki menjadi sayu. Amarahnya menghilang di dalam dakapan mesra. Anak yang dibelai sedari masih merah dan tapak kaki sebesar dua jari.

"Nizam tak tahu nak cakap macam mana benda ni terjadi. Nizam minta maaf, ayah. Kalau ayah nak pukul Nizam sekalipun... Nizam rela, ayah. Ampunkan Nizam, ampunkan dosa Nizam, ayah." Mendayu, sayu sekali mendengar kata-kata Nizam. Menitik juga air mata Encik Marzuki mendengar rintihan anaknya.

"Errr... Abang Mizan, terima kasih kerana selamatkan air muka mak dan ayah. Terima kasih juga kerana selamatkan Hani. Mungkin jodoh Hani dengan abang, bukan dengan Nizam. Maafkan Nizam, bang," ujar Nizam di hadapan abangnya. Apa lagi yang boleh dikatakan? Rahsia hatinya disimpan kemas. Hanya Allah yang tahu.

"Okey." Itu saja yang keluar dari mulut Mizan. Muka Mizan tidak seceria seperti kebiasaannya seorang pengantin baru. Kelat saja.

Jawapan ringkas dari Mizan itu sudah memadai untuk Nizam. Itu lebik baik daripada mendapat penumbuk abangnya yang lebih tinggi, lebih besar dan lebih sasa daripadanya.

Mizan cuba mengawal perasaan marahnya. Dia masih ada rasa hormat pada mak dan ayah. Jika hanya dia berdua dengan Nizam, dia pasti penumbuknya sudah hinggap ke muka adiknya itu. Jika diikutkan hatinya mahu saja dia menunjal-nunjal kepala adiknya itu. Biar habis lebam satu muka. Biar sampai benjol-benjol satu kepala.

"Hani... Hani cantik hari ni. Abang nak minta maaf banyak-banyak pada Hani. Nanti abang jumpa Hani. Kita berbual. Abang ada perkara nak cakap dengan Hani..."

Yuhanis sekadar menundukkan kepalanya kepada Nizam tanda hormat. Yuhanis tidak selesa direnung Nizam seperti tiada apa-apa yang terjadi. Nizam seperti sudah terlupa akan onar yang telah dilakukan. Bercakap seperti orang tak buat apa-apa kesalahan. Kata-kata Nizam juga tidak mahu dilayan. Hati Yuhanis rasa pedih sekali. Sakitnya terasa sampai ke hulu hati.

Sudah cukup, cukup sudah,

Cukup sampai di sini saja,

Daripada batin terseksa,

Lebih baik ku pergi saja...

Tanpa disedari Yuhanis merapatkan tubuhnya ke sisi Mizan. Seketika Yuhanis tertunduk menahan perasaan, merah padam mukanya. Betapa luka dan sedih hatinya sehingga tidak terzahir sepatah kata.

Mizan merenung tepat ke arah mata Nizam. Muka Mizan serius. Suka atau tak, Yuhanis sudah menjadi isterinya. Nizam sudah membuang segala haknya atas bekas tunangnya itu, tapi Nizam seperti tidak sedar diri. Seperti saja dia tidak melakukan sebarang kesalahan. Tak pasal-pasal saja Mizan terlibat dengan masalah. Mizan geram bukan kepalang.

          

"Hani. Hani kena dengar penjelasan abang... Nanti... Kita..."

"Darling!!!" satu suara nyaring datang dari arah teksi.

Semua kepala tertoleh serentak ke arah teksi yang masih menunggu. Empat pasang mata hanya memerhati Nizam terkocoh-kocoh berlari ke arah teksi semula. Rupa-rupanya Nizam terlupa akan seseorang yang sedang menunggunya di dalam teksi.

Kelihatan Nizam tertunduk-tunduk membantu seorang perempuan keluar dari perut teksi kemudian melangkah kembali ke arah emak, ayah, abang dan kakak iparnya a.k.a bekas tunang yang sedang memerhati. Sekali lagi empat pasang mata berpandangan sesama sendiri.

Hampir terlopong mulut Puan Azmah dan Encik Marzuki melihat isteri Nizam. Bukan kerana terlalu cantik atau seksi, tapi tak sangka begini rupa-rupanya pilihan anak bongsu mereka. Berambut perang tapi bukan anak mat salih. Dengan perut yang sedang membesar memakai baju sendat bertali halus, singkat sehingga nampak paha. Tidak sanggup mata tua mereka hendak melihat.

Yuhanis turut ternganga. Dia begitu terpanar. Beginikah pilihan hati Abang Nizam sehingga sanggup melukakan hatinya? Mengapa Abang Nizam tidak berterus terang saja padanya dari awal lagi? Yuhanis rela mengundurkan diri.

Mizan memandang selamba dengan pandangan tak kuasa. Rasa menyampah pun ada walaupun sekadar menjeling sekilas isteri adiknya dengan ekor mata. Padanya semua perempuan sama saja, tak harus diberi muka.

"Mak, ayah... Errr abang, Hani... Ini isteri Nizam...Shila. Shila kenalkan my mum, my dad." Nizam memperkenalkan Shila kepada orang tuanya.

Shila bersalaman dengan Puan Azmah dan Encik Marzuki.

"This is my brother and Hani."

"Honey?" Ada nada tidak puas hati pada suara Shila.

"Her name is Yuhanis. I call her Hani." Nizam memberi penjelasan kepada isterinya.

"Kami ni baru nak sembahyang asar. Apa kata kita semua masuk dulu. Nanti kita berbual di dalam." Encik Marzuki segera menyampuk. Tidak mahu menangguh lagi, waktu asar semakin menganjak.

"Jom masuk Shila, Nizam layan isteri kamu ni sementara kami solat." Pelawa Puan Azmah sambil mempamerkan senyuman mesra kepada ahli baru dalam keluarganya. Rasa sayu dan hiba menjelma bertindih-tindih. Perempuan beginikah pilihan hati anaknya? Mengapakah anaknya itu begitu buta sampai tidak tahu menilai yang mana batu, yang mana permata?

Yuhanis membuka tudungnya dengan perasaan segan. Ini pertama kali rambutnya terdedah kepada mata lelaki. Tudung berenda bewarna putih yang sedondon dengan baju kebayanya digantung ke dalam almari. Yuhanis membuka ikatan rambutnya. Perasaan yang sedang kacau cuba ditenangkan.

Mizan yang sedang membuka samping terhenti melihat rambut ikal mayang isterinya terungkai lembut hingga ke paras pinggang. Kelihatan cantik sekali. Tak suka pun, bergegar juga jantungnya. Berkocak juga naluri lelakinya. Segera Mizan memalingkan muka dan badannya ke arah lain.

Yuhanis mengerling seketika ke arah jam di dinding. Masa berjalan begitu pantas. Yuhanis segera membuka butang baju kebayanya. Separuh jalan tangan Yuhanis terhenti tiba-tiba. Baru Yuhanis teringat bahawasanya dia tidak lagi berseorangan di dalam bilik itu. Cepat-cepat Yuhanis merapatkan semula butang baju kebayanya. Yuhanis menoleh seraya berkata.

"Errr... boleh saya masuk bilik air du..." Kata-kata Yuhanis terhenti. Secepat kilat kepalanya tertoleh berpaling memandang ke hadapan semula. Mizan sudah tidak berbaju. Mizan cuma bertuala saja. Ah, mudahnya bagi orang lelaki. Terutama lelaki yang sudah bergelar suaminya kini, satu ketika dahulu pernah menjadi suami kepada wanita lain. Tidakkah lelaki itu ada perasan malu padanya? Walaupun sedikit?

Pinggan Tak Retak, Nasi Tak DinginWhere stories live. Discover now