09 February 2017

DAHLAN ZAINUDDIN RINDU MENYANYI



Penyanyi era 70-an, Datuk Dahlan Zainuddin, 76, yang diserang penyakit angin ahmar pada Jun tahun lalu itu melahirkan rasa rindu untuk kembali mengadakan persembahan.

Dahlan turut berkata, sepanjang tempoh itu dia sentiasa berharap dapat kembali menghiburkan peminat.

"Rasa rindu hendak menyanyi sentiasa ada kerana nyanyian sudah sebati dengan diri saya. Kerana perasaan rindu itu juga saya semakin bersemangat untuk kembali pulih agar saya dapat kembali menghiburkan peminat," kata Dahlan.

Klik untuk gambar besar




Dahlan ditemui pada sidang media sempena konsert amal untuknya iaitu 'Datuk Dahlan Zainuddin Charity Fundrasing Concert' yang diadakan di sini, Rabu.

Dalam pada itu, Dahlan berkata, keadaan kesihatannya kini semakin baik selepas dia memberikan tumpuan kepada fisioterapi yang perlu dilakukannya dua kali seminggu.

Malah dia juga tidak pernah terlepas setiap temu janji yang perlu dihadirinya di tiga buah hospital berbeza bagi memastikan kesihatannya terjaga.



"Selain angin ahmar, saya juga ada masalah buah pinggang, jantung, paru-paru dan saraf tetapi Alhamdulillah setakat ini semuanya terkawal.

"Walaupun belum pulih sepenuhnya saya akan memastikan makan ubat pada waktu ditetapkan selain berjumpa dengan doktor untuk pemeriksaan berkala," jelasnya.

Sementara itu, kata Dahlan, dia amat berterima kasih kepada isterinya, Datin Effa Rizan, 55, yang menjadi tulang belakangnya bagi memastikan kesihatan dia sentiasa terjaga.



Jelas Dahlan, dia mungkin tidak dapat kembali pulih tanpa sokongan dan dorongan wanita berkenaan yang tidak jemu-jemu menjaganya.

"Selain nyanyian sebagai semangat, isteri saya adalah insan paling penting dalam memastikan saya sentiasa bersemangat untuk pulih.

"Dia sentiasa berada dengan saya untuk memastikan semuanya terjaga dan tanpa dia saya mungkin tidak dapat lakukannya sendiri," tuturnya.

Untuk makluman, Dahlan diserang angin ahmar pada 29 Jun lalu ketika berada di Perlis bagi menghadiri majlis buka puasa bersama anak yatim.

Penyanyi yang terkenal dengan lagu 'Kisah Seorang Biduan' itu kemudian dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) HKL sejak 22 Julai lalu apabila keadaan kesihatannya kembali merosot.

Bagaimanapun keadaan Dahlan beransur pulih dan dibenarkan keluar dari hospital berkenaan pada Oktober lalu.

Bercakap mengenai konsert amal yang diadakan khas untuknya, Dahlan berkata, dia sangat terharu dan gembira kerana masih ada pihak yang mengingati dan ingin membantunya.

Tambah Dahlan, dia teruja dengan konsert berkenaan kerana dapat bertemu dengan semua kenalan lamanya selain berjanji akan menyampaikan beberapa buah lagu pada persembahan itu nanti.

"Tiada kata dapat saya ucapkan selain terima kasih dan terharu apabila ada pihak masih mengingati saya malah sepanjang saya sakit rakan-rakan artis sentiasa bertanya khabar dan datang melawat.

"Usaha yang dilakukan oleh Karyawan dan Melody United Music sangat saya hargai. Insya-Allah pada hari konsert itu nanti saya tidak mahu duduk sebagai penonton sahaja malah ingin sama-sama beraksi dan menghiburkan peminat," ujarnya dipetik sebagai berkata.

Konsert yang dianjurkan oleh Persatuan Karyawan Malaysia dan Melody United Music itu bakal diadakan pada 19 Februari ini di Hard Rock Cafe bermula pukul 2.30 petang.

Antara artis yang bakal mengadakan persembahan adalah Jay Jay (Carefree), Fredo (Flybaits) dan Jatt (Black Dog Bone).

Turut terlibat adalah artis daripada Melody United Music seperti Kris Patt, Patriot Band, Wafi, Alfi Alwi dan Calvin Clarke.

Tiket untuk menyaksikan persembahan berkenaan dijual pada harga RM250 (VVIP), RM200 (Platinum), RM150 (Gold), RM100 (Silver) dan RM50 (Bronze) dan ia boleh didapati menerusi www.airasiaredtix.com. Untuk pertanyaan lanjut boleh menghubungi talian 019-361 1535 atau emel ke info@melodyunited.com.

Semua hasil jualan tiket akan diserahkan kepada Dahlan sebagai bantuan meringankan bebannya yang perlu berulang-alik ke hospital.


Sumber & foto: mStar



         ________________________





No comments: