Anda di sini

Amarah gaji lambat

Advertisement
 Keadaan kereta yang dibakar suspek yang mengamuk selepas dimaklumkan gaji lambat dibayar.
JADI MANGSA: Keadaan kereta yang dibakar suspek yang mengamuk selepas dimaklumkan gaji lambat dibayar.
 Anggota polis dan bomba turut berada di tempat kejadian.
PIHAK BERKUASA: Anggota polis dan bomba turut berada di tempat kejadian.
__alt__

  Buruh mengamuk pukul anak majikan, isteri rakan dan bakar kereta rakan. 

SIBU: Seorang buruh binaan mengamuk dengan memukul anak majikan dan isteri rakan sekerjanya selepas dimaklumkan gaji lambat dibayar.

Dalam kejadian sekitar jam 3.50 petang kelmarin, suspek yang berusia 30-an turut bertindak membakar kereta milik rakan sekerjanya di tapak pembinaan bangunan kedai di Jalan Aman.

Ketika kejadian, difahamkan rakan sekerja suspek yang juga pemilik kereta, 35, dan isteri serta rakan-rakan sekerja lain menunggu untuk menerima gaji mereka sebelum didatangi suspek.

Suspek kemudian mengamuk setelah dimaklumkan anak majikan yang juga pengurus tapak pembinaan bahawa gaji mereka lambat dibayar.

Rakan suspek dan isterinya cuba menenangkan suspek, namun gagal menyebabkan suspek yang dalam keadaan mabuk memukul isteri rakannya dengan batang penyapu di tangan kanannya dan membaling bata ke arah perutnya.

Suspek juga memukul anak majikan dengan batang besi di kepala dan tangan kiri.

Kedua-dua mangsa bagaimanapun hanya cedera ringan.

Sebelum melarikan diri dari tempat kejadian, suspek membakar kereta rakannya, menyebabkan kerosakan 85 peratus dengan anggaran kerugian RM12,000.

Ketua Polis Daerah ACP Zailanni Amit mengesahkan kes disiasat di bawah Seksyen 324/435 Kanun Keseksaan kerana disyaki dengan sengaja mendatangkan cedera dengan batang penyapu dan besi serta khianat api dengan membakar kereta.

"Usaha menjejaki dan menangkap suspek sedang dijalankan," jelasnya.

Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu diketuai PBK II Tahir Tuah dengan kekuatan tujuh anggota dan sebuah jentera FRT bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan jam 4.16 petang.

Pihak bomba berjaya memadam kebakaran tersebut dan diawasi anggota polis untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

  • oleh
  • Advertisement