Famili

Jangan Ego Minta Maaf Dengan Anak, Mereka Tak Akan ‘Pijak Kepala’

748
SHARES

“Aduh, anak bujang aku yang seorang ni dah pandai merajuk. Satu hal pula aku nak meminta maaf dengan dia. Memang dah janji nak ke restoran tu malam ni. Tapi tiba-tiba ada ‘meeting’ tergempar, nak buat macam mana. Salah aku jugak ke?”

Sebagai ibu bapa, kita juga adalah manusia dan tak dapat lari daripada melakukan kesilapan. Sama ada kesalahan itu disengajakan atau tidak, sekiranya ia melibatkan anak-anak, tentu ada yang berkira-kira dan terfikir sama ada mereka perlu meminta maaf atau tidak. Ini kerana, ia dianggap sebagai amalan hamba terhadap tuannya, pekerja terhadap majikannya, murid kepada gurunya, rakyat kepada pemerintah, golongan muda kepada golongan tua, dan anak kepada ibu bapa.

Hakikatnya perkataan ‘maaf’ sebenarnya mungkin tidak begitu mudah diucapkan, lebih-lebih lagi jika ia melibatkan perkara yang besar dan rasa ego dan malu dalam diri ibu bapa.

Namun, berikut adalah 7 sebab utama mengapa ibu bapa juga perlu meminta maaf kepada anak-anak kerana ia boleh memberi kesan kepada masa depan mereka.

Foto Kredit: uykusuzanneler.com

Foto Kredit: uykusuzanneler.com

7 Sebab Ibu Bapa Tak Boleh Ego Meminta Maaf Dengan Anak

1. Salah Tak Bererti Lemah

Perkara pertama yang perlu anda ingat adalah meminta maaf tidak akan membuat ibu bapa kelihatan lemah atau ‘teruk’ di hadapan anak.

Benar, kita sudah berusaha melakukan yang terbaik untuk anak-anak, namun tiada siapa yang sempurna serba-serbi. Maka, jangan pernah menganggap bahawa kesilapan adalah sesuatu yang tidak dapat diperbetulkan. Dalam Islam pun, dijelaskan bahawa perbuatan meminta dan memberi maaf adalah antara amalan mulia yang melayakkan seseorang Muslim mendapat ganjaran yang tinggi di sisi-NYA.

Isteri tertekan dan stress yang kronik

2. Anak Tidak Keliru Membezakan Baik Dan Buruk

Apabila ibu bapa melakukan kesilapan kepada anak – seperti terlupa tarikh penting di sekolah, lewat mengambil mereka, atau tidak menepati janji; jangan sesekali menunda untuk meminta maaf kepada mereka. Ada yang menganggap mereka masih kecil dan akan melupakan semua hal tersebut. Lalu, mereka mendiamkan diri dan berlakon seperti tiada apa-apa yang berlaku.

Menurut pakar psikologi, Dr Kate Roberts menerusi Psychology Today, anak-anak selalunya akan mengingati hal ini dengan jelas. Malahan, sikap sambil lewa ibu bapa yang tidak meminta maaf dan tidak menjaga perasaan anak menjadikan anak-anak itu menjadi keliru terhadap baik dan buruknya perkara yang dilakukan oleh ibu bapa mereka.

Foto Kredit : dawnnews.tv

Foto Kredit : dawnnews.tv

3. Anak Akan Mencontohi Anda

Ibu bapa adalah ‘role model’ yang pertama dan paling berpengaruh dalam anak-anak. Setelah melihat ibu bapa berinisiatif untuk meminta maaf, anak anda akan berasa lebih mudah untuk melakukan hal yang sama apabila mereka melakukan kesilapan.

Tetapi, jika anda mengelakkan daripada meminta maaf sehingga menipu anak kecil, mereka juga akan belajar daripadanya. Lebih bahaya jika anak-anak berpura-pura dan menyembunyikan sesuatu daripada anda semata-mata kerana terikut-ikut dengan perangai anda.

Foto Kredit: babyradio.gr

Foto Kredit: babyradio.gr

4. Elak Anak Memberontak

Sebagai ibu bapa, permintaan maaf akan menjadikan anak berasa dihargai dan disayangi; bukannya seseorang yang di’pijak kepala’. Malah, tindakan ini dapat melentur anak-anak dan mengelakkan mereka daripada menjadi seorang yang suka memprotes.

Sekiranya ibu bapa menganggap perasaan anak tidak penting, anak-anak akan susah untuk mempercayai anda dalam apa jua hal. Oleh kerana tersinggung, mereka mungkin juga akan mengalami krisis percayakan diri mereka sendiri.

Tetapi, jika anda berani minta maaf dan mengakui kesilapan, anak akan berasa lebih dekat dengan anda dan tidak ragu menceritakan sebarang masalah mereka.

Foto Kredit: canadianfamily.org

Foto Kredit: canadianfamily.org

5. Menanam Prinsip Kejujuran Yang Utuh

Tindakan meminta maaf bukanlah sekadar ‘memujuk’ atau ‘mendiamkan’ anak-anak yang sedang marah, tetapi intipatinya adalah prinsip untuk berlaku jujur terhadap diri sendiri.

Secara tidak langsung, anda mengajar anak tentang pentingnya kejujuran terhadap sesama manusia termasuklah diri sendiri. Bahkan, semua manusia di dunia memiliki tanggungjawab untuk sentiasa memohon keampunan daripada Tuhan Yang Maha Melihat setiap perbuatan kita.

kids-praying

Foto Kredit : medina-center.ru

6. Menjadikan Anak Seorang Yang Pemaaf

Penting untuk anak anda memahami bahawa walaupun seseorang telah melakukan kesilapan, mereka masih boleh memperbetulkannya dan bercakap tentangnya. Hal ini membantu anak membina jati diri mereka yang bakal melangkah menuju kehidupan sebenar dalam sedikit masa lagi.

Dalam masa yang sama, perbuatan memberi dan meminta maaf adalah budaya yang patut dijadikan amalan. Tindakan ini akan membolehkan anak menjadi seorang yang lebih penyayang dan tidak kekok untuk memperbaiki hubungan sesama ahli keluarga, rakan-rakan termasuklah orang luar.

meminta maaf

Foto Kredit: theodysseyonline.com

7. Anak Punya Semangat Untuk Sentiasa Mencuba

Apabila ibu bapa mengakui kesilapan, mereka sebenarnya memberi peluang kepada anak untuk ‘berbuat salah’. Mereka lebih yakin untuk mengambil risiko dan sekaligus menjadikan mereka seorang yang berani dan tidak takut untuk gagal. Ini akan memberi ruang kepada anak untuk membesar menjadi seorang yang bertanggungjawab dan selesa dengan diri sendiri walaupun telah berbuat silap.

Sikap ini amat penting untuk masa depan anak, dan ia merupakan ‘hadiah’ yang sangat istimewa untuk anak-anak menyerlahkan kebolehan serta minat mereka.

Meminta Maaf Adalah Tanda Keberanian

Sungguhpun kita cuba menjadi ibu bapa yang sempurna, namun realitinya kita tetap akan melakukan kesilapan. Jika ia berlaku, janganlah berasa ego untuk mengakuinya sehingga memulaukan perasaan dan menyakiti hati anak tersebut. Bukankah salah satu daripada tindakan yang menunjukkan kasih sayang adalah dengan meminta maaf?

Rasulullah SAW pernah bersabda:

لَيْسَ مِنَّا مَنْ لَمْ يَرْحَمْ صَغِيرَنَا، وَيُوَقِّرْ كَبِيرَنَا

“Bukan termasuk golonganku orang yang tidak menyayangi orang muda dan tidak menghormati orang yang tua” (HR. At-Tirmidzi)

Lantaran itu, anak-anak perlu diajar bahawa tindakan mengakui kesilapan mereka adalah lebih penting berbanding menyembunyikannya. Lebih penting lagi, mereka memahami bahawa tindakan ini merupakan tanda kekuatan dan keberanian.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×