16 November 2016

GV3: TIMBANG KEPUTUSAN - ELLY MAZLEIN BAKAL KEMBALI?



Sebelum ini, Elly Mazlein pernah mengeluarkan kenyataan yang beliau enggan kembali ke Gegar Vaganza 3 (GV3) meskipun beliau diserap masuk menggunakan kuasa imuniti yang dimiliki oleh Datuk Seri Vida selepas menarik diri kerana terasa hati dengan komen juri Datuk Ramli MS.

Terkini, Elly atau nama sebenarnya Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, 36, memberitahu yang beliau tidak menolak kemungkinan untuk kembali beraksi di GV3. Menurut Elly, beliau bakal menimbang semula keputusannya itu demi peminatnya yang sering menyokong beliau selama ini.





"Perkara ini ada pro dan juga kontra. Hampir 90 peratus mahu saya kembali semula ke GV3 jika diberi peluang, tetapi ada juga yang tidak bersetuju dengan memberi alasan perkara ini membabitkan soal maruah.

"Saya sendiri susah nak cakap kerana banyak hati yang perlu dijaga. Tetapi, kalau diikutkan hati, memang sekarang juga saya nak masuk semula," katanya.

Elly sedar akan ada pihak yang mempersoalkan pendiriannya dan akan terus dihimpit dengan komen negatif. Namun, itu menjadi penguat semangat untuk beliau terus berjuang di GV3.



"Tengoklah nanti macam mana. Kalau saya masuk balik, pasti akan ada komen negatif dan menghentam keputusan saya ambil itu.

"Tidak mengapa, saya pernah kena teruk sebelum ini. Lebih banyak mereka mengutuk saya, ia makin menguatkan semangat saya untuk menyertai semula GV3," ujarnya dipetik sebagai berkata.

Jika benar Elly bakal kembali ke GV 3 kami harap beliau kali ini datang dengan semangat yang baharu dan tidak lagi senang terguris dengan komen juri.



Mengulas isu komen negatif dilemparkan artis berpengalaman, Fauziah Datuk Ahmad Daud atau Ogy, di laman sosial ketika isu penyingkirannya menjadi kontroversi, baru-baru ini, Elly mengaku terkilan dengan sikap pelakon filem 'Azura' itu.

"Dia (Ogy) boleh memilih cara lain untuk memberikan komen atau mengkritik saya, tetapi mengapa dirinya menggunakan laman sosial untuk berbuat demikian?

"Walaupun dia membuat serangan peribadi, saya tetap menghormatinya sebagai seorang yang lebih berusia dan berpengalaman daripada saya," jelasnya.


Sumber: Berita Harian
Foto: Elly Mazlein


         ________________________





No comments: