29 December 2017

TUNAI UMRAH BERSAMA - AHYA & A. AIDA TAK TOLAK JIKA BERJODOH


Selepas mengerjakan ibadah Umrah bersama baru-baru ini, pelakon dan model Ahya Rosli, 30, mengakui hubungannya dengan penerbit drama sensasi Datuk A Aida semakin akrab dan kini berkawan rapat serta sedang mengenali hati budi.





"Dia seorang yang positif, kuat bekerja dan penyayang. Dia juga baik dengan keluarga saya. Kami sudah kenal lama tapi sejak pergi umrah bersama-sama baru betul-betul rapat.

"Boleh dikatakan kami masih dalam proses mengenali hati budi masing-masing," jelasnya bagi menjawab tentang khabar angin hubungan cinta dia dan penerbit drama 'Andainya Takdir' yang dikatakan mula berputik.

Ahya yang juga anak kepada pelakon veteran Normah Damanhuri itu juga mengakui tidak menolak andai jodohnya bersama wanita berusia 47 tahun itu.

Klik untuk gambar besar


"Kalau sudah jodoh saya terima sahaja, Allah itu maha mengetahui. Apa salahnya, keluarga saya juga sukakan dia," tuturnya.

Aktor itu menunaikan umrah di Makkah bersama ibu dan ahli keluarganya pada 27 November lalu.

Sementara itu, ditanya tentang jarak umur kira-kira 17 tahun, Ahya berkata, perkara itu tidak menjadi masalah dan menganggap ia sebagai perbezaan pengalaman hidup sahaja.

"Perbezaan umur bukan masalah, ia hanya perbezaan pengalaman sahaja. Cuma tentang anak itu perlu juga difikirkan," ujarnya.



Dalam pada itu, Datuk A Aida atau nama sebenarnya Zaidah Awang berkata, dia dan Ahya mulai rapat ketika berjumpa pada majlis tayangan filem Malay Regiment pada Ogos lalu.

"Kami masih dalam fasa berkawan. Kalau ada jodoh, adalah. Saya menyerahkan perkara ini kepada Allah SWT. Saya tidak boleh mengiyakan atau menidakkan. Segalanya adalah ketentuan dan takdir.

"Cuma, buat masa sekarang saya dengan Ayha adalah kawan. Saya selesa berkawan kerana dia lelaki yang baik.



"Memandangkan dia anak emak, jadi tak dinafikan dia seorang yang penyayang dan ambil berat. Anak saya pun okey dengan dia.

"Saya tak kisah jodoh dengan lelaki muda, tetapi apabila memikirkan perbezaan usia kami yang terlalu jauh banyak perkara perlu diambil kira.

"Kalau kami berkahwin, saya fikir pada usia ini adakah saya boleh memberikan zuriat untuknya? Sudah tentu sebagai lelaki yang belum pernah berkahwin pasti inginkan anak.

"Apa pun, saya tetap berfikiran positif. Kalau betul ada jodoh kami, saya berdoa agar dikurniakan anak. Apa pun, buat masa sekarang kami hanya kawan," katanya.










www.myartis.com / Sumber: mStar & Harian Metro


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: