Rabu, 18 Jun 2014

Selepas 101 hari, kerajaan belum tubuh RCI siasat kehilangan MH370

lks forum

Roketkini.com.


KUALA LUMPUR: Selepas 101 hari tragedi kehilangan pesawat MH370, sehingga hari ini, masih belum membentangkan kertas putih, menubuhkan Suruhanjaya Diraja Siasatan (RCI) ataupun Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC)

“Selepas 101 hari kita masih menanti dan menunggu jawapan tanpa ada sebarang usaha-usaha yang komprehensif dari kerajaan. Rakyat masih tidak mengetahui apakah sebenarnya yang berlaku.

“Ia jelas membuktikan betapa lemahnya pimpinan Najib,” kata Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang dalam forum ‘MH370: Kemalangan atau Kesilapan Manusia’ di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH), semalam.

Kata Kit Siang, DAP dan Pakatan Rakyat berulang kali membangkitkan persoalan di luar dan di dalam Dewan Rakyat berhubung perkembangan terkini proses pencarian pesawat itu, namun tidak ada sebarang jawapan diberikan kerajaan.

Tambahnya, jawapan diterima amat tidak munasabah iaitu ‘pihak kerajaan pada masa ini belum memutuskan sama ada untuk membentangkan kertas putih, menubuhkan RCI ataupun PSC.

Malah kerajaan masih belum memutuskan untuk mnenubuhkan badan siasatan dan hanya akan dibuat setelah ‘pesawat yang hilang ditemui serta punca tragedi dikenal pasti’.

“Ini jawapan yang tidak munasabah dan menjadi bahan jenaka dunia,” kata ahli parlimen Gelang Patah itu.

Tambahnya, jawapan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa pesawat itu telah ‘berakhir’ 24 Mac lalu tidak menyakinkan dan langsung tidak merungkai misteri kehilangannya.

“Jawapan Najib bahawa pesawat telah ‘berakhir’ langsung tidak menyakinkan kerana ia tanpa sebarang bukti kukuh.

“Jika semua sudah ‘berakhir’, adakah mereka semua meninggal? Jika sudah meninggal mana buktinya? Tanpa bukti tidak ada sesiapa pun akan menerimanya.

“Sekarang ini bukan saja pesawat hilang, Najib pun hilang sama. Kita ada ‘tragedi berkembar’. Inilah dia simbol pemimpin dan kerajaan yang tidak memiliki akauntabiliti,’ kata Kit Siang sinis.

Forum malam tadi dibarisi panelis termasuk felow Institut Kajian Kemajuan Sosial (REFSA) Lam Chong Wah dan Pakar Perundangan Tommy Thomas.

Turut hadir beberapa pimpinan DAP lain termasuk Ahli Parlimen Bukit Bintang Fong Kui Lun, Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok dan Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong. – Roketkini.com.

Tiada ulasan: