Jalan Bario-Ba’Kelalan kini sudah siap 30 peratus

0

MIRI: Jurutera-jurutera tentera yang terbabit dalam Projek Jiwa Murni bagi pembinaan jalan raya menghubungkan Bario dan Ba’Kelalan kini sudah menyiapkan sejauh 15 kilometer atau 30 peratus daripada jalan berkenaan.

Pada masa yang sama, masyarakat Kelabit di tanah tinggi Bario menanti dengan penuh sabar jalan raya berkenaan disiapkan sambil berharap projek pembinaannya berjalan lancar.

Timbalan Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Ahmad Zaki Ansore Mohd Yusof memberitahu, lebih 35 kilometer lagi bahagian jalan raya tersebut menghubungkan kedua-dua tanah tinggi itu menunggu dilaksanakan pembinaannya.

“Jalan Bario-Ba’Kelalan yang bernilai RM48 juta dan amat penting kepada penduduk di kedua- dua tanah tinggi itu adalah projek pembinaan jalan raya kedua di negeri ini dilaksanakan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di bawah Strategi Lautan Biru melalui Projek Jiwa Murni,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Lawas sebaik tiba dari Ba’Kelalan.

Sebelum itu, Ahmad Zaki bersama Pegawai Bahagian Khas JPM Datuk Ismail Haron dan Pegawai Pembangunan Negeri Datuk Kamal Husin berada di Bario dan Ba’Kelalan hujung minggu lalu untuk meninjau perkembangan jalan berkenaan dan keperluan lain penduduk di tanah tinggi tersebut.

Pasukan itu turut mengadakan pertemuan dengan Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Ahli Parlimen Lawas Datuk Henry Sum Agong bagi memberi taklimat mengenai perkembangan tersebut di Lapangan Terbang Lawas sebelum kembali ke Putrajaya.

Menurut Ahmad Zaki, jalan pertama dilaksanakan di bawah Strategi Lautan Biru itu ialah pembinaan jalan Long Lopeng- Ba’Kelalan sejauh 75 kilometer iaitu projek perintis bagi pembinaan jalan yang sesuai dalam semua keadaan cuaca dengan menggunakan teknologi penstabilan tanah dengan kos jauh lebih rendah berbanding jalan berturap konvensional.

Selain mereplikasikan model itu di Marudi dan bahagian lain di negeri ini, ATM turut melaksanakan projek-projek lain di Malaysia Timur termasuk pentauliahan sistem bekalan air bersih di kawasan luar bandar, pembinaan jambatan dan projekprojek bantuan perumahan.

Sementara itu, Jalan Bario- Ba’Kelalan bermula pada 2012, namun pembinaannya tergendala selepas bantahan penduduk tempatan di sepanjang laluan tersebut setelah tidak puas hati dan mendakwa laluan pembinaan jalan itu menjejaskan pengairan sawah padi mereka.

Bagaimanapun, pembinaannya diteruskan selepas masalah tersebut diselesaikan.

Pembinaan jalan raya Bario- Ba’Kelalan merupakan salah satu daripada projek-projek utama dilaksana bagi pembangunan luar bandar di Bario dan Ba’Kelalan yang diluluskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sementara itu, Awang Tengah turut menekankan mengenai keperluan mendesak bagi pembinaan Pos Imigresen di Ba’Kelalan untuk mengawal kemasukan orang dan barangbarang selain memantapkan keselamatan di situ.

Beliau turut membangkitkan isu bantuan persekutuan untuk mangsa kebakaran di Kampung Manangah iaitu perkampungan nelayan pantai di Awat Awat yang terbakar baru-baru ini.

“Kerajaan negeri akan membantu 41 keluarga yang terjejas berpindah ke skim penempatan semula dan saya minta Jabatan Perdana Menteri memudahkan kelulusan bantuan perumahan yang diperlukan oleh mangsa,” katanya.