Suka bantu orang tua dorong Rina jadi Sukarelawan Kebajikan

0

PRIHATIN: Rina membantu menyelimutkan Naim yang sedang tidur. Naim kini terlantar dan menghidap sakit asma yang serius.

KUCHING: Sikap suka membantu dan menghargai orang tua membuatkan Nor Shafarina Azlin Ramje, 26, atau lebih mesra dengan panggilan Rina menjadi seorang Sukarelawan Kebajikan.

Menurutnya, tanpa motivasi dan semangat tersebut pastinya sukar bagi seseorang melakukan tugas membantu warga emas dan orang kurang upaya (OKU) yang memerlukan bantuan dan sokongan.

“Saya mula menjadi Sukarelawan Kebajikan sejak setahun lalu apabil saya bekerja secara kontrak dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Pada masa itu, saya mendapat tahu tentang sukarelawan ini.

“Disebabkan minat yang mendalam dalam membantu orang tua, saya mula menyertainya,” katanya kepada pemberita semalam.

Menurut Rina, Program Khidmat Bantu Di Rumah merupakan satu program yang memberi khidmat sokongan dan bantuan kepada warga tua dan OKU terutama yang tinggal bersendirian semasa ketiadaan ahli keluarga di rumah.

“Sebelum menjadi Sukarelawan Kebajikan, kami mendapat latihan asas seterusnya melaksanakan tugas berdasarkan konsep dan prinsip kesukarelaan,” jelasnya yang telah menerima sijil dan dilantik secara rasmi membantu Naim Li, 81, dan Zainah Ali, 77.

Sementara itu, Zainah ketika ditemui mengucapkan terima kasih kepada JKM kerana membantu mereka berdua.

Selain itu, beliau turut menghargai Sukarelawan Kebajikan iaitu Rina yang dilantik bagi membantu mereka berdua selepas ini.

“Terima kasih kepada kerajaan terutama JKM kerana membantu kami,” katanya terharu.

Terdahulu, Naim dan Zainah menerima Bantuan Orang Tua (BOT) Negeri sebanyak RM100 sebulan sejak 2005.

Namun sejak 2010, mereka ditukarkan ke Skim Bantuan Orang Tua (BOT) Persekutuan sebanyak RM300 sebulan setiap seorang sehingga kini.