Adenan sudah pilih tarikh sesuai untuk PRN

0

Oleh Jessica Jawing//

 

CERIA: Adenan ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Kempen Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang di Wisma Bapa Malaysia, semalam.

CERIA: Adenan ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Kempen Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang di Wisma Bapa Malaysia, semalam.

KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem sudah memilih tarikh sesuai bagi mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN), namun enggan mendedah bila ia akan berlangsung.

Malah, jelasnya, barisan calon Barisan Nasional (BN) juga telah dimuktamadkan.

“Saya telah memutus tarikh sesuai PRN. Namun, saya tidak akan memberitahu anda (media) bila. Ia pastinya sebelum Jun (2016).

“Bagi calon-calon BN kebanyakan mereka ya… sudah dimuktamadkan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Kempen Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Jabatan Ketua Menteri di Wisma Bapa Malaysia di sini, semalam.

Kali terakhir PRN diadakan pada 2011 dengan menyaksikan BN berjaya mengekal majoriti dua pertiga iaitu memenangi 55 kerusi, Parti Tindakan Demokratik (DAP) 12 kerusi, Parti Keadilan Rakyat (PKR) tiga kerusi dan satu lagi milik calon bebas.

Daripada 55 kerusi dimenangi BN, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menang 35 kerusi, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) enam kerusi, Parti Rakyat Sarawak (PRS) lapan kerusi dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) enam kerusi.

PRN Ke-11 dijangka lebih menarik dengan penambahan 11 kerusi menjadikan keseluruhannya 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Sebanyak 11 kerusi baharu itu merangkumi Batu Kitang, Stakan, Serumbu, Triboh, Gedong, Kabong, Tellian, Selirik, Murum, Samalaju dan Long Lama.

Cadangan 11 kerusi itu melibatkan 12 konstituensi Parlimen iaitu Stampin, Kota Samarahan, Serian, Batang Sadong, Saratok, Mukah, Kapit, Hulu Rajang, Bintulu, Baram dan Mambong.

Menerusi cadangan itu juga, Parlimen Mambong akan ditukar kepada Puncak Borneo manakala Mambong akan digunakan menggantikan DUN Bengoh.

Manakala tiga kerusi DUN ditukar nama merangkumi Batang Air, Belawai dan Kidurong yang masing-masing dicadang ditukar kepada Batang Ai, Kuala Rajang dan Tanjong Batu.