PNB rintis peluang miliki kekayaan negara

0

Oleh Watt Zacchaeus dan Andy Sabang //

Rakyat berpeluang miliki syarikat besar dengan melanggan unit amanah ditawarkan

RASMI: Muhyiddin (tiga kiri) sambil diperhatikan Ahmad Sarji (kiri), Adenan dan Hamad melakukan simbolik pelancaran MSAM 2015 di Sibu semalam.

SIBU: Permodalan Nasional Berhad (PNB) merintis peluang kepada Bumiputera/bukan Bumiputera memiliki sebahagian kekayaan ekonomi negara dengan melanggan unit-unit amanah yang ditawarkan.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sebelum adanya syarikat pelaburan seperti PNB bukan senang bagi rakyat memiliki syarikat-syarikat besar.

“Syarikat-syarikat milik rakyat ini melabur dalam pelbagai sektor seperti perkhidmatan kewangan dan insurans, automotif, perladangan, hartanah, logistik dan insfrastruktur, farmaseutikal dan kimia, perindustian dan peralatan, tenaga, minyak dan gas, pembuatan dan kejuruteraan supaya risiko dapat dikurangkan dengan cara mempelbagai portfolio bagi mengelak kerugian.

“Khususnya Bumiputera mereka mendapat peluang bekerja dan menjadi profesional mengurus dan menerajui syarikat-syarikat tersebut,” katanya pada Perasmian Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2015 di Dataran Bandar Sibu di sini semalam.

Hadir sama Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem, Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Kewangan Kedua Dato Sri Wong Soon Koh, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Syukri, Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani, Pengerusi PNB Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, Presiden merangkap Ketua Eksekutif Kumpulan PNB Tan Sri Dato Sri Hamad Kama Piah Che Othman serta kenamaan lain.

Muhyiddin memberitahu, jika 15 tahun dahulu industri unit amanah hanya mempunyai 9.6 juta pelabur dengan memiliki 63.9 bilion unit kini bilangan mereka meningkat kepada 17.47 juta dengan dana berjumlah 446.63 bilion unit (Januari 2015).

“Apa yang lebih membanggakan keupayaan PNB mengekalkan bahagian pasaran di sebalik persaingan hebat dalam industri.

“Dari segi bilangan pemegang akaun, PNB menguasai 70.2 peratus keseluruhan pasaran sementara dari segi nilai aset bersih adalah pada tahap 63.6 peratus pada akhir tahun lalu,” jelasnya.

Muhyiddin menyifatkan penganjuran MSAM adalah satu program pelaburan yang luar daripada kebiasaan.

Program ini memberi fokus kepada pendidikan dilaksanakan secara bersepadu dan menyeluruh melibatkan penyertaan rakyat pelbagai peringkat usia, latar belakang dan kaum.

“Dalam tempoh 15 tahun (2000-2015) dengan 16 kali penganjuran, natijahnya rakyat lebih terdedah dan lebih faham tentang unit amanah dan pelaburan.

“Jika 15 tahun dahulu, PNB hanya mempunyai 7.8 juta pelabur memiliki 36 bilion unit amanah, kini PNB mengurus 12.31 juta akaun pelabur (hingga Februari 2015) dengan jumlah 202.23 bilion unit dalam edaran melepasi paras 200 bilion unit.

“Ini satu jumlah besar bagi institusi pelaburan menggembleng modal rakyat secara sukarela.

“Pencapaian ini telah membantu menyemarakkan industri unit amanah, pengurusan dana dan pasaran saham,” ujarnya.

Beliau memberitahu, penggemblengan dana secara besar-besaran melalui unit amanah dapat mempelbagaikan sumber pembiayaan pembangunan ekonomi negara selain melalui deposit bank, terbitan saham atau bon, modal teroka dan sebagainya.

“Justeru, kerajaan memainkan peranan penting memastikan ekonomi negara dan pendapatan rakyat terus berkembang,” katanya.

BANTU RAKYAT MILIKI KEKAYAAN: PNB rintis peluang kepada Bumiputera/bukan Bumiputera miliki sebahagian kekayaan ekonomi negara dengan melanggan unit-unit amanah ditawarkan. ­— Gambar Bernama