Pembangunan bakat bantu golongan belia

0

Oleh Florence Nervyn //

Bantu belia jadi pemimpin berwibawa terajui aspirasi pembangunan negara pada masa depan

SIBU: Pembangunan bakat kepimpinan di peringkat awal dapat membantu golongan belia menjadi pemimpin berwibawa dalam menerajui aspirasi pembangunan negara pada masa depan.

Penolong Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Sosial Bujang Budin berkata, remaja berusia 13 hingga 18 tahun yang dikenali sebagai Generasi Y adalah tonggak kepimpinan negara.

“Transformasi belia patriotik adalah kursus intensif dalam bentuk pembelajaran berasaskan pengalaman membantu anak-anak muda memahami dan menghargai aspek asas kepimpinan berkesan.

“Di samping itu, ia membentuk diri mereka sebagai pemimpin yang cemerlang pada masa akan datang,” katanya pada Majis Penutupan dan Penyampaian Sijil Program Transformasi Belia Patriotik 2015 di Kem Belia Kumayang, kelmarin.

Seramai 107 pelajar daripada 14 sekolah menengah di sini mengambil bahagian pada program tiga hari anjuran Kementerian Pembangunan Sosial, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pejabat Pendidikan Daerah Sibu.

Bujang berkata, kerajaan menerusi Kementerian Pembangunan Sosial sentiasa prihatin dan peka terhadap pembangunan belia melalui pelaksanaan pelbagai bentuk program di seluruh negeri.

“Justeru, Generasi Y sebagai aset penting negara perlu didedahkan dengan kemahiran dan kepakaran supaya mereka dapat menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan negara,” ujarnya.

Hadir sama Pengetua Kem Belia Kemuyang Faizal Ali dan wakil PDRM Daerah Sibu Sarjan Mejar Raja Idris Raja Mohamed.